Wednesday 2 September 2015

Wajib Kibar Jalur Gemilang Atau Tak Boleh Perbaharui Lesen Perniagaan - MB Negeri Sembilan


SEREMBAN: Kerajaan negeri kini sedang mengkaji syarat bagi mewajibkan semua premis perniagaan di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau akan meminta pihak berkuasa tempatan supaya meletakkan syarat itu semasa peniaga datang memperbaharui lesan perniagaan.

"Mulai tahun depan, mana-mana premis yang tidak memasang Jalur Gemilang adalah melanggar syarat dan mereka yang melanggar syarat boleh dikenakan tindakan iaitu tidak akan diperbaharui lesen perniagaan mereka. Ini melibatkan semua premis perniagaan.

"Takkan pasang bendera setahun sekali menyambut Hari Kebangsaan pun tak boleh. Itu satu perkara yang amat mendukacitakan. Saya bukan suruh pasang bendera Barisan Nasional (BN) tetapi pasang bendera negara kita, Jalur Gemilang.

"Saya rasa sudah sampai masa kita kena menguatkuasakan perkara ini untuk menunjukkan semangat cintakan negara," katanya memetik laporan dari Bernama.

Mohamad turut menyatakan perasaan dukacitanya ketika sambutan Hari Kebangsaan tahun ini kerana tidak banyak premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya di Bandar Seremban.

Tambahnya juga, pelbagai seruan, pujukan dan kenyataan telah diikhtiarkan oleh kerajaan supaya rakyat mengibarkan jalur gemilang di premis masing-masing malangnya semua itu seperti tidak diendahkan.

"Kita minta setahun sekali kibarkan Jalur Gemilang, dan nampaknya semangat cintakan negara langsung tidak ada. Sebagai contoh di bandar Seremban, kalau dalam 50 buah kedai, hanya ada satu dua yang kibarkan bendera negara. 

"Saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Saya sudah minta kerjasama dan sebagainya, tapi hasilnya menghampakan. Saya menyimpulkan bahawa mereka ini tiada semangat kebangsaan.

"Malulah kalau nak dibandingkan dengan negara lain bagaimana rakyat mereka menyambut hari kebangsaan mereka. Saya amat kecewa betapa rakyat kita tipis sangat semangat cintakan negaranya," katanya

No comments:

Post a Comment